10-fast-finger-speedtest

Jumaat, 23 Januari 2009

Akhlak Cermin Sikap Terhadap Pencipta

Ajaran-ajaran yang dibawa oleh Baginda Rasulullah s.a.w. ketika menyebarkan Islam selain memperbetulkan akidah adalah membentuk akhlak mulia. Tugas ini dilakukan serentak semasa seruan keimanan tauhid kepada Allah s.w.t. Keimanan tanpa akhlak mulia melahirkan generasi yang tidak seimbang dan tempang cara hidupnya.Dalam sebuah hadis secara tegas Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud, Sesungguh aku ini diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Bagi mendapatkan contoh dan gambaran akhlak yang mulia adalah dengan melihat peribadi baginda dan seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik.Hidup kita hari ini tidak sama dengan semasa zaman Nabi menyebarkan Islam. Islam telah tersebar lebih dari 1,424 tahun, bermula dari era Mekah dan berkembang luas dalam era pemerintahan Islam di Madinah. Sepertimana yang kita saksikan Islam telah tersebar luas merentasi padang pasir hijaz. Perkembangannya begitu pantas, mengambil bentuk yang pelbagai dan yang agak unik adalah penyebarannya di rantau Nusantara termasuk di Tanah Melayu.Penyebaran Islam di rantau ini benar-benar unik. Islam masuk secara fitrah manusia iaitu secara aman dan tanpa paksaan ke atas penduduk tempatan. Jika kita membaca sejarah Melayu dan Hikayat Raja-Raja Pasai nescaya kita akan mendapat gambaran sebenarnya.Tome Pires menjelaskan ajaran Islam telah diterima oleh raja yang memerintah Melaka ketika itu, diikuti oleh keluarga dan golongan istana dan kemudiannya oleh rakyat jelata. Ia sama sekali tidak melibatkan kekerasan atau ugutan walau sedikit pun. Tiada pertumpahan darah dan kehilangan nyawa.Jika berlaku perbalahan di kalangan penduduk Tanah Melayu ketika itu adalah disebabkan perkara lain bukan kerana tujuan menyebarkan Islam.Dalam Islam terdapat ayat-ayat dan hadis-hadis Nabi yang menjelaskan tentang kepentingan akhlak. Akhlak mencerminkan tingkah laku, sikap dan adab seseorang terhadap Pencipta, sesama manusia dan alam sekitar.Pada 4 Mac lepas kita menyambut Maal Hijrah di seluruh negara. Sambutan di peringkat Persekutuan melibatkan kepimpinan tertinggi negara termasuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Ia disusun sedemikian rapi dengan atur cara yang menarik. Pada setiap awal tahun hijrah negara akan mengisytiharkan Tokoh Maal Hijrah.Apabila diteliti tokoh yang pernah dianugerahkan gelaran ini, mereka terdiri daripada yang bukan sahaja mempunyai latar belakang pendidikan agama seperti tokoh Maal Hijrah tahun ini (1424), bahkan meliputi mereka yang asas pendidikan awal dalam bidang lain seperti Allahyarham Tan Sri Prof. Ahmad Mohamed Ibrahim dan ramai lagi.Pertimbangan ini adalah adil supaya ia lebih menyeluruh meliputi setiap golongan yang telah memberi sumbangan kepada agama dan negara.Maal Hijrah dahulunya dikenali dengan sambutan awal Muharam iaitu bermulanya kalendar Islam - dengan menggunakan tahun Hijrah dan berdasarkan kiraan bulan sebanyak dua belas bulan qamariah dengan nama bulan bermula dengan Muharam hingga Zulhijah.Kiraan bulan Islam ada implikasi hukum ke atas kehidupan Muslim seperti tarikh menunaikan Ramadan, aid (Fitri dan Adha), melaksanakan haji dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan ahwal syahsiyah seperti tempoh perempuan mengandung dan idah kerana ada yang dikira mengikut bulan.Jika kita menoleh ke lembaran sejarah Islam, peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dan sahabat ke Madinah mempunyai latar belakang yang penuh erti. Ajaran Islam yang dibawa oleh baginda tidak secocok dengan kepercayaan dan nilai-nilai yang berlaku di kalangan orang Arab jahiliah di Mekah.Oleh demikian hanya sebilangan kecil yang menerima Islam. Mereka telah diberikan pelbagai bentuk tekanan dan penyeksaan semata-mata kerana memeluk Islam dan meninggalkan cara hidup jahiliyah.Melakukan perubahan dalam diri yang telah sekian lama sebati dengan tradisi jahiliah bukanlah suatu yang mudah untuk diterima oleh bangsa Arab. Merubah daripada amalan penyembahan berhala dan kepercayaan syirik kepada tauhid, merubah cara hidup sosial yang bersifat kabilah yang sempit kepada ukhuwah Islamiah sejagat, memandang rendah kepada wanita sehingga kelahiran mereka tidak dibanggakan kepada pengiktirafan hak-hak wanita.Di samping membanteras cara hidup yang menyalahi norma-norma hidup masyarakat bertamadun, Islam membawa keindahan akhlak kepada penganutnya. Beberapa panduan boleh didapati dari al-Quran seperti dalam surah al-Hujurat, ayat 11 yang bermaksud:Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan lain dengan gelaran yang buruk.Sebenarnya dalam surah al-Hujurat ini telah diberi banyak panduan kepada umat Islam supaya memelihara budi pekerti dalam berinteraksi dan bermasyarakat dan seterusnya memelihara akhlak yang mulia.

Sumber Asal : Utusan, Dr. Abdul Monir Yaacob Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)14 Mac 2003

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kak.... kak... ingatkan orang kaya yang nampak alim ni baikla betul, rupanya tinggi diri yang melampau jg rupanya...patut ni dorang baca entry kakak..